Arca da aliança
A Arca da Aliança era o símbolo mais sagrado de Israel — representava a presença de Deus no meio do seu povo. Sobre ela brilhava a glória do Senhor entre os querubins.
Tabut Perjanjian
"Buatlah sebuah Tabut daripada kayu akasia, yang berukuran 110 sentimeter panjang, 66 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi. Bahagian dalam dan luar Tabut itu harus disaluti emas tulen dan bingkainya dibuat daripada emas. Buatlah empat gelang emas dan pasangkan gelang itu pada keempat-empat sudut Tabut; dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah. Buatlah juga kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutlah kayu pengusung itu dengan emas, lalu masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada setiap sisi Tabut itu. Kayu pengusung harus tetap ada dalam gelang-gelang itu, dan tidak boleh dikeluarkan. Kemudian kedua-dua batu tulis yang akan Aku berikan kepadamu harus diletakkan di dalam Tabut; batu-batu itu bertuliskan perintah itu.
Buatlah penutup Tabut itu daripada emas tulen; hendaklah penutup itu berukuran 110 sentimeter panjang, dan 66 sentimeter lebar. Buatlah juga dua kerub daripada emas tempaan, satu pada setiap hujung penutup Tabut itu. Kedua-dua kerub itu harus dijadikan satu bahagian dengan penutup, dan dibuat saling berhadapan di atas penutup, dengan muka memandang ke bawah, dan dengan sayap yang terbentang untuk menutupi penutup itu. Letakkan kedua-dua batu tulis itu di dalam Tabut, lalu tutuplah Tabut itu dengan penutupnya.
Aku akan bertemu dengan engkau di sana. Dari atas penutup itu, di antara dua kerub itu, Aku akan memberi engkau segala hukum-Ku untuk umat Israel."
Membuat Tabut Perjanjian
Bezaleel membuat Tabut Perjanjian daripada kayu akasia berukuran 110 sentimeter panjang, 66 sentimeter lebar, dan 66 sentimeter tinggi.
Memasang dan Mentahbiskan Khemah TUHAN
TUHAN berfirman kepada Musa, "Pada hari pertama bulan pertama, pasanglah Khemah-Ku. Letakkan Tabut Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum di dalam Khemah itu dan pasanglah tirai di depan Tabut.
Kemudian Musa mengambil dua buah batu tulis itu dan meletakkannya di dalam Tabut Perjanjian. Dia memasukkan kayu pengusung Tabut ke dalam gelang-gelangnya, lalu menutup Tabut dengan penutupnya. Lalu dia meletakkan Tabut itu di dalam Khemah TUHAN dan menggantungkan tirai pelindung di depan Tabut Perjanjian, sesuai dengan perintah TUHAN kepadanya.
Apabila Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN untuk bercakap dengan TUHAN, dia mendengar TUHAN berfirman kepadanya dari atas penutup Tabut Perjanjian, di antara dua patung kerub.
Umat Israel Berangkat
Apabila umat Israel meninggalkan Sinai, gunung suci itu, mereka berjalan selama tiga hari. Tabut Perjanjian TUHAN sentiasa dibawa mendahului mereka untuk mencari tempat berkhemah bagi mereka. Tiap-tiap kali mereka berangkat dari tempat perkhemahan, awan TUHAN sentiasa ada di atas mereka pada siang hari.
Setiap kali Tabut Perjanjian TUHAN itu dipikul ketika berangkat, Musa berkata, "Bangkitlah, ya TUHAN, cerai-beraikanlah musuh-Mu dan biarlah orang yang membenci Engkau melarikan diri!" Setiap kali umat Israel berhenti dan menurunkan Tabut Perjanjian, Musa berkata, "Kembalilah, ya TUHAN, kepada ribuan keluarga Israel."
Tongkat Harun
TUHAN berfirman kepada Musa, "Suruhlah umat Israel memberi engkau dua belas batang tongkat; tongkat itu harus diserahkan oleh setiap pemimpin suku. Tulislah nama setiap pemimpin pada tongkatnya, lalu tulislah nama Harun pada tongkat yang mewakili suku Lewi. Tiap-tiap pemimpin suku harus ada sebatang tongkat. Bawalah tongkat-tongkat itu ke dalam Khemah-Ku, dan letakkan semuanya di depan Tabut Perjanjian, tempat Aku bertemu dengan engkau. Tongkat orang yang Kupilih akan bertunas. Dengan demikian Aku akan menghentikan sungutan orang Israel yang tidak putus-putus terhadap engkau."
Oleh itu Musa memberitahu umat Israel tentang perkara itu. Kemudian tiap-tiap pemimpin mereka memberikan sebatang tongkat kepada Musa, iaitu satu batang daripada tiap-tiap suku. Kesemuanya dua belas batang, termasuk tongkat Harun. Setelah itu Musa meletakkan semua tongkat itu di dalam Khemah TUHAN, di depan Tabut Perjanjian.
Keesokan harinya, ketika Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN, dia melihat bahawa tongkat Harun, tongkat yang mewakili suku Lewi, sudah bertunas. Tongkat itu sudah berkudup, berbunga, dan menghasilkan beberapa buah badam yang tua. Musa mengambil semua tongkat itu dan menunjukkannya kepada umat Israel. Mereka nampak apa yang sudah berlaku, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, "Letakkanlah semula tongkat Harun di depan Tabut Perjanjian. Tongkat itu harus disimpan sebagai amaran kepada orang Israel yang suka memberontak, bahawa mereka akan mati jika mereka tidak berhenti bersungut-sungut." Musa melakukan apa yang diperintahkan TUHAN.
Pada masa itu musim menuai dan seperti biasa, Sungai Yordan banjir.
Apabila umat Israel meninggalkan perkhemahan untuk menyeberangi Sungai Yordan, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berjalan di hadapan mereka. Sebaik sahaja imam-imam itu menginjakkan kaki ke dalam air, sungai itu berhenti mengalir. Jauh di bahagian hulu sungai, airnya terkumpul di Adam, sebuah kota dekat Sartan. Air yang mengalir ke Laut Mati terputus sama sekali. Oleh itu umat Israel dapat menyeberangi sungai dekat kota Yerikho. Selama umat Israel berjalan di atas dasar sungai yang kering, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berdiri di tengah-tengah dasar sungai yang kering itu, sehingga semua umat tiba di seberang.
Apabila imam-imam itu sampai di tebing sungai, air sungai mengalir lagi dan banjir seperti semula.
Kota Yerikho Jatuh
Pintu-pintu gerbang kota Yerikho dikawal dan ditutup supaya umat Israel tidak dapat masuk. Tiada seorang pun dapat masuk ataupun keluar dari kota itu. TUHAN berfirman kepada Yosua, "Aku menyerahkan Yerikho dengan rajanya dan semua askarnya yang perkasa kepadamu. Engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sekali sehari selama enam hari. Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan Tabut Perjanjian. Pada hari ketujuh, engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, sementara imam-imam meniup trompet. Selepas itu mereka harus meniup trompet dengan bunyi yang panjang, dan sebaik sahaja kamu mendengarnya, semua orang harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh. Pada saat itu seluruh tenteramu harus terus memasuki kota itu."
Yosua memanggil imam-imam dan berkata kepada mereka, "Gotonglah Tabut Perjanjian, dan tujuh orang antara kamu harus berjalan di hadapannya dengan membawa trompet." Kemudian Yosua memberikan arahan kepada askar-askarnya supaya berarak mengelilingi kota itu, didahului oleh barisan pengawal depan yang berjalan di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN.
Lalu imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya.
Tentera Filistin menyerang tentera Israel, dan setelah bertempur dengan sengit, tentera Israel kalah. Kira-kira 4,000 orang Israel dibunuh oleh tentera Filistin di medan peperangan. Apabila tentera Israel yang masih hidup pulang ke perkhemahan, para pemimpin Israel berkata, "Mengapakah TUHAN membiarkan tentera Filistin mengalahkan kita hari ini? Marilah kita membawa Tabut Perjanjian TUHAN dari Silo, supaya Dia akan menyertai kita dan menyelamatkan kita daripada musuh." Oleh itu mereka mengutus orang ke Silo untuk mengambil Tabut Perjanjian TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas pun datang bersama-sama Tabut Perjanjian itu.
Apabila Tabut Perjanjian itu sampai di perkhemahan, tentera Israel bersorak dengan sangat kuat kerana gembira, sehingga bumi bergoncang. Tentera Filistin juga mendengar bunyi sorak itu lalu berkata, "Mengapakah orang Ibrani itu bersorak-sorak?" Tetapi selepas mereka mengetahui bahawa Tabut Perjanjian TUHAN sudah tiba di perkhemahan orang Ibrani, mereka menjadi takut. Mereka berkata, "Ada dewa datang ke perkhemahan mereka! Celakalah kita! Belum pernah kita mengalami perkara seperti ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan kita daripada dewa-dewa yang kuat itu? Dewa-dewa itulah yang telah membinasakan orang Mesir di padang gurun dahulu. Jangan takut, hai tentera Filistin! Berperanglah seperti lelaki! Jika tidak, kita akan menjadi hamba orang Ibrani seperti mereka dahulu menjadi hamba kita. Oleh itu berperanglah dengan gagah berani!"
Tentera Filistin berperang dengan sekuat tenaga, lalu mereka mengalahkan tentera Israel. Tentera Israel lari ke khemah masing-masing kerana mereka kalah teruk; sebanyak 30,000 orang askar Israel terbunuh. Tabut Perjanjian Allah dirampas oleh musuh, dan kedua-dua orang anak Eli, Hofni dan Pinehas terbunuh.
TUHAN menghukum penduduk Asdod dengan berat sekali, dan menakutkan mereka. Dia menghukum mereka dan penduduk di daerah sekitar dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka.Ketika mereka nampak apa yang sedang berlaku, mereka berkata, "Allah Israel menghukum kita dan Dagon, dewa kita. Kita tidak boleh membiarkan Tabut Perjanjian itu tinggal di sini lagi." Oleh itu mereka menjemput kelima-lima orang raja Filistin supaya berkumpul, lalu bertanya, "Apakah yang harus kita lakukan dengan Tabut Perjanjian Allah umat Israel itu?"
Raja-raja itu menjawab, "Pindahkanlah Tabut itu ke kota Gat." Lalu Tabut itu dipindahkan ke Gat, sebuah kota Filistin yang lain. Tetapi setelah Tabut itu sampai di sana, TUHAN menghukum penduduk kota itu juga dan menimbulkan keadaan yang sangat mencemaskan. TUHAN menghukum semua penduduk dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka, baik orang muda mahupun orang tua. Oleh itu mereka menghantar Tabut Perjanjian ke Ekron, sebuah kota Filistin yang lain lagi. Tetapi apabila Tabut tiba di sana, penduduk kota itu berkata, "Lihatlah, mereka membawa Tabut Perjanjian Allah Israel ke mari untuk membunuh kita semua!" Oleh itu mereka memanggil semua raja Filistin berkumpul, lalu berkata, "Hantarlah Tabut Perjanjian Allah Israel itu ke tempat asalnya, supaya tidak dapat membunuh kami dan keluarga kami." Segenap penduduk kota itu cemas kerana Allah menghukum mereka dengan sangat berat.
Tabut Perjanjian Dikembalikan
Selepas Tabut Perjanjian TUHAN berada di negeri orang Filistin selama tujuh bulan, orang Filistin memanggil para imam dan ahli sihir, lalu bertanya, "Apakah yang harus kita lakukan dengan Tabut Perjanjian TUHAN itu? Jika Tabut itu kita kembalikan ke tempatnya, apakah benda yang patut dikirim bersama-samanya?"
Mereka menjawab, "Jangan kembalikan Tabut Perjanjian Allah Israel dengan tidak menyertakan apa-apa persembahan untuk Dia. Tabut itu mesti disertai persembahan untuk menebus dosa kamu. Dengan demikian kamu akan disembuhkan, dan kamu akan mengetahui apa sebabnya Allah Israel terus-menerus menghukum kamu."
Orang Filistin itu menurut; mereka mengambil kedua-dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, lalu menambat kedua-dua ekor lembu itu pada pedati, sedangkan anak-anak lembu itu dikurung di dalam kandang. Kemudian Tabut Perjanjian itu dinaikkan ke atas pedati, bersama dengan peti yang berisi tikus tiruan daripada emas dan bengkak-bengkak tiruan daripada emas itu. Lembu-lembu itu berjalan menuju ke arah Bet-Semes; lembu-lembu itu menguak sambil berjalan terus, tanpa menyimpang ke kiri atau ke kanan dari jalan raya. Kelima-lima orang raja Filistin terus mengikuti lembu-lembu itu sampai ke sempadan kota Bet-Semes.
Pada masa itu penduduk Bet-Semes sedang menuai gandum di lembah. Apabila mereka nampak Tabut Perjanjian itu, alangkah sukacitanya mereka! Pedati itu berhenti dekat sebuah batu besar di ladang Yosua, seorang penduduk Bet-Semes. Penduduk kota itu membelah-belah pedati kayu itu dan menyembelih dua ekor lembu itu, lalu mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.Kemudian orang Lewi menurunkan Tabut Perjanjian TUHAN dan peti yang berisi benda-benda emas itu. Mereka meletakkan semuanya di atas batu besar di situ. Selepas itu, penduduk Bet-Semes mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain kepada TUHAN.
Kemudian penduduk Kiryat-Yearim mengambil Tabut Perjanjian TUHAN dan membawanya ke rumah seorang yang bernama Abinadab; rumah itu terletak di atas bukit. Mereka mentahbiskan Eleazar anak Abinadab untuk menjaga Tabut Perjanjian.
Samuel Memerintah Israel
Lama juga Tabut Perjanjian TUHAN berada di Kiryat-Yearim, kira-kira dua puluh tahun. Selama itu segenap umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN.
Raja Daud mendengar bahawa TUHAN telah memberkati keluarga Obed-Edom dan segala yang ada padanya, kerana Tabut Perjanjian. Maka Raja Daud pergi ke rumah Obed-Edom dan mengambil Tabut Perjanjian itu. Baginda memindahkan Tabut Perjanjian ke Yerusalem dengan perayaan besar. Setelah orang yang mengangkat Tabut Perjanjian melangkah maju enam langkah, Raja Daud menyuruh mereka berhenti. Lalu baginda mempersembahkan korban kepada TUHAN, iaitu seekor lembu jantan dan seekor anak lembu yang digemukkan. Raja Daud menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati TUHAN. Pada waktu itu baginda hanya memakai kain linen pendek yang diikat pada pinggangnya. Demikianlah Raja Daud dan segenap rakyat Israel membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem sambil bersorak-sorai dengan diiringi tiupan trompet.
Tabut Perjanjian Dibawa ke Rumah TUHAN
Kemudian Raja Salomo menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel menghadapnya di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN dari Sion, Kota Daud, ke Rumah TUHAN. Mereka semua berkumpul sempena Perayaan Pondok Daun, iaitu dalam bulan ketujuh, dalam bulan Etanim. Setelah semua pemimpin itu berkumpul, para imam mengangkat Tabut Perjanjian dan membawanya ke dalam Rumah TUHAN. Orang Lewi dan para imam juga memindahkan Khemah TUHAN dan semua perkakasnya ke Rumah TUHAN. Raja Salomo dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya. Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke dalam Rumah TUHAN, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub. Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut Perjanjian serta kayu-kayu pengusungnya. Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di situ hingga sekarang.) Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di situ oleh Musa, di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir.
Sedang para imam meninggalkan Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah itu dipenuhi awan. Awan itu berkilauan dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat masuk kembali untuk menyelenggarakan tugas mereka.
Hai umat yang tidak setia, kembalilah kepada-Ku; kamu milik-Ku. Aku akan mengambil kamu, seorang dari setiap kota, dan dua orang daripada setiap puak, lalu Aku akan membawa kamu kembali ke Bukit Sion. Aku akan memberi kamu pemimpin-pemimpin yang taat kepada-Ku. Mereka akan memimpin kamu dengan kebijaksanaan dan pengertian. Kemudian apabila kamu telah bertambah banyak di negeri ini, orang tidak akan bercakap tentang Tabut Perjanjian-Ku lagi. Mereka tidak akan memikirkan atau mengingatnya lagi; malah mereka tidak akan memerlukannya atau membuat Tabut Perjanjian yang lain.
Ibadat di Bumi dan Ibadat di Syurga
Perjanjian pertama mengandungi peraturan ibadat, dan mempunyai tempat ibadat buatan manusia. Khemah yang didirikan di bahagian paling depan, dinamakan Bilik Suci. Di situ terdapat sebuah kaki pelita dan sebuah meja dengan roti yang dipersembahkan kepada Allah. Di belakang tirai kedua, terdapat bahagian khemah yang dinamakan Bilik Maha Suci. Di situ terdapat mazbah emas yang digunakan untuk membakar kemenyan dan juga terdapat Tabut Perjanjian yang seluruhnya disalut dengan emas. Di dalam Tabut itu terdapat balang emas berisi manna, tongkat Harun yang telah bertunas, dan dua buah batu tulis yang bertuliskan sepuluh hukum Allah. Di atas Tabut itu terdapat dua kerub iaitu makhluk bersayap yang melambangkan hadirat Allah. Sayap kerub ini terbentang di atas penutup Tabut, tempat dosa diampunkan. Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan semuanya dengan terperinci.
Rumah Allah di syurga terbuka dan Tabut Perjanjian kelihatan di situ. Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh menggelegar dan bergemuruh, bumi bergoncang dan hujan batu turun dengan lebat.
Este artigo te tocou? Faça uma oração!
+581 estão orando agora.
Junte-se à corrente de oração.