Elisa dan Perempuan Kaya dari Kota Sunem
8 Pada suatu hari Elisa pergi ke kota Sunem. Di sana ada seorang perempuan kaya. Perempuan itu menjemput Elisa makan di rumahnya. Sejak itu tiap-tiap kali Elisa pergi ke Sunem, dia makan di rumah perempuan kaya itu. 9 Perempuan itu berkata kepada suaminya, "Aku yakin bahawa orang yang selalu datang ke mari itu sungguh-sungguh hamba Allah. 10 Marilah kita bina sebuah bilik kecil di atas bumbung rumah, dan melengkapinya dengan sebuah tempat tidur, sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah pelita supaya dia dapat menginap di situ manakala dia datang ke mari."
11 Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem lalu masuk ke biliknya untuk berehat. 12 Dia menyuruh Gehazi, hambanya pergi memanggil perempuan itu. Apabila perempuan itu datang, 13 Elisa berkata kepada Gehazi, "Tanyalah dia apa yang dapat saya lakukan baginya. Dia telah bersusah-payah menyediakan keperluan kita. Mungkin dia mahu saya mengatakan sesuatu bagi kepentingannya di hadapan raja ataupun panglima tentera."
Perempuan itu menjawab, "Saya tinggal di kalangan kaum keluarga saya sendiri dan tidak kekurangan apa-apa pun."
14 Elisa berkata kepada Gehazi, "Jika demikian, apakah yang dapat saya lakukan baginya?"
Gehazi menjawab, "Dia tidak mempunyai anak lelaki. Lagi pula suaminya sudah tua."
15 Elisa berkata, "Suruhlah perempuan itu datang ke mari." Perempuan itu datang dan berdiri di pintu. 16 Kej 18.14Elisa berkata kepadanya, "Pada masa seperti ini tahun hadapan, puan akan mendukung seorang anak lelaki."
Perempuan itu berkata, "Tuan, janganlah tuan berdusta kepada saya. Tuan adalah hamba Allah!"
17 Tetapi sebagaimana yang dikatakan Elisa, kira-kira pada masa yang sama tahun berikutnya, perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki.
18 Beberapa tahun kemudian, pada musim menuai, anak itu pergi ke ladang hendak mengikut bapanya yang sedang berada di situ dengan para penuai. 19 Tiba-tiba anak itu berkata kepada bapanya, "Kepala saya sakit! Kepala saya sakit!"
Bapanya berkata kepada salah seorang hambanya, "Bawalah dia kepada ibunya." 20 Hamba itu membawa anak itu kepada ibunya, lalu ibunya memangku dia hingga tengah hari. Pada tengah hari anak itu meninggal. 21 Perempuan itu membawa dia ke dalam bilik Elisa dan membaringkan dia di atas tempat tidur. Kemudian dia menutup pintu dan meninggalkan anak itu di sana. 22 Dia memanggil suaminya dan berkata, "Suruhlah seorang hamba membawa seekor keldai ke mari. Saya hendak bertemu dengan Nabi Elisa. Saya akan segera kembali."
23 Suaminya bertanya, "Mengapakah harus pergi pada hari ini? Hari ini bukan hari Sabat ataupun Perayaan Bulan Baru."
"Tidak mengapa," jawabnya. 24 Lalu dia memasang pelana pada keldai itu dan memerintah hambanya, "Paculah keldai ini supaya berlari sepantas mungkin. Jangan kurangkan kepantasannya kecuali saya suruh." 25 Demikianlah perempuan itu berangkat dan pergi ke Gunung Karmel, ke tempat Elisa.
Dari jauh Elisa telah nampak perempuan itu datang. Elisa berkata kepada Gehazi, hambanya, "Lihatlah perempuan dari Sunem itu datang! 26 Cepatlah pergi menemuinya dan tanyalah bagaimana keadaannya, suaminya, serta anaknya."
Perempuan itu memberitahu Gehazi bahawa semuanya baik. 27 Tetapi apabila perempuan itu sampai di hadapan Elisa, dia bersujud dan memegang kaki Elisa. Gehazi hendak menyingkirkan dia, tetapi Elisa berkata, "Biarkanlah dia. Tidakkah kamu tahu bahawa dia sedang berdukacita? Tetapi TUHAN belum memberitahu aku apa-apa."
28 Perempuan itu berkata kepada Elisa, "Tuan, saya tidak memohon seorang anak daripada tuan! Tidakkah saya berkata kepada tuan supaya jangan bangkitkan harapan saya?"
29 Elisa berpaling kepada Gehazi dan berkata, "Cepat! Bawalah tongkatku dan pergilah. Janganlah berhenti memberikan salam kepada sesiapa pun. Jika ada orang yang memberikan salam kepadamu, tidak usahlah membalasnya. Pergilah langsung ke rumahnya dan letakkanlah tongkatku pada tubuh budak itu."
30 Perempuan itu berkata kepada Elisa, "Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan, bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan!" Oleh itu mereka berdua pulang bersama-sama. 31 Gehazi berjalan dahulu. Dia meletakkan tongkat Elisa pada tubuh budak itu, tetapi tidak terdengar apa-apa dan tidak ada tanda-tanda bahawa budak itu hidup. Dia kembali menemui Elisa dan berkata, "Budak itu tidak bangun."
32 Apabila Elisa tiba, dia masuk seorang diri ke dalam bilik itu. Dia nampak jenazah budak itu terbaring di atas tempat tidur. 33 Elisa menutup pintu lalu berdoa kepada TUHAN. 34 Dia meniarap pada tubuh budak itu dan merapatkan mulutnya, matanya, dan tangannya pada mulut, mata, dan tangan budak itu. Sementara Elisa berbuat demikian, badan budak itu mulai hangat. 35 1 Raj 17.21Elisa bangun, dan berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu, lalu meniarap sekali lagi pada tubuh budak itu. Budak itu bersin tujuh kali lalu membuka matanya. 36 Elisa menyuruh Gehazi memanggil ibu budak itu. Apabila dia masuk, Elisa berkata kepadanya, "Ini anak puan." 37 Perempuan itu bersujud di hadapan Elisa lalu membawa anaknya keluar.