10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia.
Di Filipi: Lidia Percaya kepada Allah
11 Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake, dan hari berikutnya ke Neapolis. 12 Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia.sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia; Beberapa buah naskhah kuno:sebuah kota terkemuka dalam daerah itu di negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. 13 Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. 14 Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. 15 Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, "Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya." Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya.
Paulus Dipenjarakan di Filipi
16 Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya. 17 Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, "Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!"