Yesus Dicubai oleh Iblis
1 Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun. 2 Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar.
3 Iblis berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti."
4 Ul 8.3Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’ "
5 Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya. 6 "Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu," kata Iblis kepada Yesus. "Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka. 7 Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku. "
8 Ul 6.13Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ "
9 Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, 10 Mzm 91.11kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’ 11 Mzm 91.12Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ "
12 Ul 6.16Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ "
13 Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu.