3 Yesus mengajar mereka banyak perkara dengan menggunakan perumpamaan.
Dia berkata, "Seorang peladang pergi menabur benih. 4 Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan, lalu burung datang dan memakan habis benih itu. 5 Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih itu segera bertunas kerana tanahnya sedikit. 6 Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. 7 Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri itu tumbuh, lalu membantutkan tumbuhan itu. 8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu berbuah. Hasilnya ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda."