Perumpamaan tentang Majlis Perkahwinan
1 Yesus berkata-kata lagi kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan. 2 Dia berkata, "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk puteranya. 3 Raja menyuruh hamba-hambanya memberitahu para jemputan supaya datang ke majlis jamuan itu. Tetapi mereka tidak mahu datang. 4 Kemudian raja itu menyuruh hamba-hambanya yang lain. Raja bertitah, ‘Beritahu para jemputan itu bahawa jamuan sudah disiapkan; lembu jantan dan anak-anak lembu yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan!’ 5 Tetapi para jemputan itu tidak peduli. Mereka pergi melakukan pekerjaan masing-masing: Yang seorang pergi ke ladang, yang seorang lagi pergi ke kedai, 6 sedang yang lain menangkap hamba-hamba itu, lalu memukul dan membunuh mereka. 7 Raja itu sangat murka dan menyuruh askar-askarnya membunuh semua pembunuh itu serta membakar kota mereka. 8 Lalu raja memanggil hamba-hambanya dan bertitah, ‘Majlis perkahwinan sudah siap, tetapi semua orang yang dijemput itu tidak layak menerima jemputan itu. 9 Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemputlah seberapa banyak mungkin orang yang kamu temui, ke majlis perkahwinan ini.’ 10 Demikianlah hamba-hamba raja itu pergi ke jalan raya dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai mereka, orang yang baik mahupun yang jahat. Lalu penuhlah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.