Muslihat terhadap Yesus
1 Setelah Yesus mengajarkan semua perkara itu, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 2 Kel 12.1-27"Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paska akan dirayakan, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalibkan!"
3 Kemudian para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi berkumpul di istana Imam Agung Kayafas. 4 Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan diam-diam dan membunuh Dia. 5 Mereka berkata, "Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana nanti rakyat merusuh."
Yesus Dituangi Minyak Wangi di Betania
6 Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. 7 Luk 7.37-38Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. 8 Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, "Mengapa minyak wangi itu dibazirkan? 9 Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!"
10 Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, "Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. 11 Ul 15.11Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. 12 Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku. 13 Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia."
Yudas Bersetuju Mengkhianati Yesus
14 Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam. 15 Za 11.12Dia berkata, "Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?" Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya. 16 Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus.
Yesus Makan Jamuan Paska dengan Pengikut-Pengikut-Nya
17 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, "Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?"
18 Yesus menjawab, "Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ "
19 Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu.
20 Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. 21 Sementara mereka makan, Yesus berkata, "Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku."
22 Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, "Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?"
23 Mzm 41.10Yesus menjawab, "Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. 24 Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!"
25 Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, "Tentu bukan saya yang guru maksudkan?"
Yesus menjawab, "Demikianlah katamu!"
Perjamuan Tuhan
26 Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, "Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku."
27 Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, "Minumlah, kamu semua. 28 Kel 24.8;Yer 31.31-34Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.