Daniel dan Para Imam Dewa Bel
1 Sesudah Raja Astiages mangkat, kerajaan baginda diambil alih oleh Kores, orang Persia. 2 Daniel, penasihat raja yang tinggal di istana raja, paling dihormati antara kawan-kawannya.
3 Orang Babilonia mempunyai berhala yang disebut Bel, dan setiap hari, mereka mempersembahkan 400 liter tepung halus, 40 ekor domba, dan 200 liter wain kepadanya. Yes 46.1;Yer 51.444 Raja Kores percaya bahawa Bel itu dewa, dan setiap hari baginda pergi menyembahnya. Tetapi Daniel tetap menyembah Allahnya sendiri.
5 Pada suatu hari raja bertanya kepada Daniel, "Mengapa engkau tak menyembah Bel?"
Jawab Daniel, "Kerana hamba tidak menyembah berhala buatan tangan manusia, melainkan Allah yang hidup, yang menciptakan langit dan bumi, dan berkuasa terhadap semua makhluk hidup."
6 "Jadi engkau tak percaya bahawa Bel adalah tuhan yang hidup?" tanya raja. "Tidakkah kaulihat berapa banyak makanan dan minuman yang dihabiskannya setiap hari?"
7 Tetapi Daniel tertawa dan berkata, "Jangan ditipu, tuanku. Yang disebut Dewa Bel itu hanyalah patung tanah liat yang dilapisi gangsa di bahagian luarnya. Bel tidak pernah makan atau minum apa pun."
8,9 Apabila mendengar hal itu, raja murka sekali. Lalu dipanggilnya imam-imam Dewa Bel. Jumlah mereka tujuh puluh orang, belum termasuk anak isteri mereka. Raja bertitah kepada imam-imam itu, "Buktikanlah kepada beta bahawa semua sajian dimakan oleh Dewa Bel. Kalau kamu tak dapat membuktikannya, kamu akan dihukum mati. Tapi kalau benar, Daniel akan dihukum mati kerana telah mengutuk Dewa Bel."
Daniel bersetuju dengan usul raja.
10 Lalu raja pergi dengan Daniel ke kuil Bel. 11 Di sana imam-imam berkata kepada raja, "Baiklah hamba semua keluar supaya tuanku sendiri dapat menyajikan makanan di atas meja korban dan menyiapkan wainnya. Sesudah itu tuanku boleh menutup pintu dan memeteraikannya dengan cap mohor kerajaan. 12 Apabila tuanku kembali esok pagi dan melihat bahawa Bel tidak menghabiskan semuanya, hamba sekalian boleh dihukum mati. Tapi kalau Bel menghabiskan semuanya, Daniel harus mati kerana dia membuat tuduhan palsu tentang hamba semua."
13 Imam-imam itu tidak khuatir kerana mereka telah membuat pintu rahsia di bawah meja korban. Setiap malam mereka masuk kuil melalui pintu itu dan menghabiskan semua sajian.
14 Apabila imam-imam itu sudah keluar, raja menyajikan makanan kepada Bel. Lalu Daniel menyuruh pembantu-pembantunya membawa abu dan menaburi seluruh lantai kuil. Hanya raja yang melihat mereka berbuat begitu. Selepas itu mereka semua keluar. Pintu ditutup dan dimeterai dengan cap mohor kerajaan, lalu mereka pergi.
15 Malam itu, seperti biasa imam-imam bersama dengan anak isteri mereka masuk ke dalam kuil melalui pintu rahsia dan menghabiskan semua makanan dan wain.
16 Pada esoknya, pagi-pagi sekali raja datang bersama-sama Daniel. 17 Raja bertanya, "Masih utuhkah cap mohor itu?"
"Masih utuh, tuanku," jawab Daniel.
18 Segera sesudah pintu dibuka, raja menengok ke meja korban yang sudah kosong dan berseru, "Sungguh besarlah engkau, hai Bel! Tak ada penipuan apa pun padamu!"
19 Tetapi Daniel tertawa dan mencegah raja masuk. Katanya, "Periksalah lantai. Tahukah tuanku jejak-jejak siapa itu?"
20 "Itu jejak orang lelaki, perempuan, dan anak-anak," jawab raja. 21 Baginda menjadi murka sekali dan memerintahkan supaya imam-imam dan anak isteri mereka ditangkap. Lalu kepada baginda, ditunjukkan pintu rahsia yang dilalui oleh mereka setiap malam untuk makan sajian yang diletakkan di atas meja korban. 22 Kemudian raja memerintahkan supaya imam-imam itu dibunuh. Baginda menyerahkan Bel kepada Daniel yang menghancurkan berhala itu berserta kuilnya.
Daniel Membunuh Naga
23 Ada seekor naga besar yang disembah oleh orang Babilonia. 24 Pada suatu hari raja bertitah kepada Daniel, "Engkau tak dapat menyangkal bahawa naga itu tuhan yang hidup. Jadi sembahlah naga itu!"
25 "Hamba hanya menyembah Tuhan, Allah hamba," jawab Daniel. "Hanya Dialah Allah Yang Hidup. 26 Kalau tuanku mengizinkan, naga itu hamba bunuh tanpa pedang atau belantan."
"Baiklah, beta izinkan," titah raja.
27 Lalu Daniel mengambil tar, lemak, dan rambut. Semua itu direbusnya bersama-sama, lalu dijadikannya kuih-kuih yang bulat dan disuapkannya ke muncung naga. Semuanya dimakan habis oleh naga sehingga naga itu pecah. Lalu Daniel berkata, "Lihat, itulah pujaan orang Babilonia!"
28 Apabila mendengar hal itu, orang Babilonia marah sekali dan memberontak terhadap raja. Mereka berteriak, "Raja sudah menjadi orang Yahudi! Baginda sudah memusnahkan imam-imam dan menghancurkan Bel. Sekarang baginda membunuh naga itu!" 29 Mereka pergi menghadap raja dan berkata, "Serahkanlah Daniel kepada hamba semua! Kalau tidak, tuanku sekeluarga akan hamba sekalian bunuh!"
30 Raja berasa terdesak sehingga baginda terpaksa menyerahkan Daniel kepada mereka. 31 Lalu Daniel dibuang ke dalam liang singa dan ditinggalkan di situ enam hari lamanya. 32 Di dalam liang itu ada tujuh ekor singa, dan setiap hari, singa-singa itu diberi makan dua mayat dan dua ekor domba. Tetapi selama enam hari itu binatang-binatang itu tidak diberi makan apa-apa pun supaya singa-singa itu menerkam Daniel. Dan 6.16-24
Daniel Diselamatkan dari Liang Singa
33 Pada waktu itu ada seorang nabi di negeri Yudea yang bernama Habakuk. Dia baru sahaja memasak bubur dan memasukkan potongan-potongan roti ke dalam mangkuk. Lalu dia pergi hendak menghantarkan bubur itu kepada orang yang sedang menuai gandum di ladang. 34 Tetapi di tengah jalan malaikat Tuhan berkata kepadanya, "Bawalah makanan itu ke Babel dan berikannya kepada Daniel di liang singa."
35 Habakuk menjawab, "Tuan, saya belum pernah ke Babel dan tak tahu di mana liang singa itu."
36 Lalu malaikat memegangnya pada rambutnya dan membawanya ke Babel dengan kecepatan angin.dengan kecepatan angin; atau dengan kuasa rohnya. Kemudian diturunkannya Habakuk dekat liang singa. Yeh 8.337 Habakuk berseru, "Daniel, Daniel! Ini makanan yang dikirim Tuhan untukmu. Ambillah!"
38 Apabila mendengar suara itu Daniel berdoa, "Ya Allah, Engkau ingat padaku. Engkau tak pernah meninggalkan orang yang mencintai Engkau." 39 Lalu dia bangkit dan makan makanan itu. Pada saat itu juga Habakuk dibawa malaikat Allah kembali ke tempatnya.
40 Pada hari yang ketujuh, raja datang untuk meratapi Daniel. Ketika baginda tiba di liang dan menengok ke dalam, dilihatnya Daniel duduk di situ. 41 Lalu raja berseru, "Ya Tuhan, Allah Daniel, sungguh besarlah Engkau! Hanya Engkaulah Allah!" 42 Maka baginda memerintahkan supaya Daniel dikeluarkan dari liang, dan orang yang mahu membunuh Daniel, dilemparkan ke dalamnya. Saat itu juga di hadapan mata raja, mereka diterkam oleh singa-singa itu.