Yesus dan Zakheus
1 Yesus meneruskan perjalanan-Nya ke Yerikho dan melalui kota itu. 2 Di situ ada seorang ketua pemungut cukai yang kaya; namanya Zakheus. 3 Dia ingin melihat Yesus, tetapi kerana orang terlalu banyak, lagi pula dia pendek, dia tidak dapat melihat Yesus. 4 Dia lari mendahului orang ramai, lalu memanjat sebatang pokok ara, supaya dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ. 5 Apabila Yesus tiba di situ, Dia memandang ke atas lalu berkata kepada Zakheus, "Zakheus, turunlah segera! Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu."
6 Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan kegembiraan. 7 Semua orang yang menyaksikan hal itu mula bersungut-sungut. Mereka berkata, "Orang ini menumpang di rumah seorang berdosa!"
8 Zakheus berdiri dan berkata kepada Yesus, "Guru, saya akan mendermakan separuh daripada harta saya kepada orang miskin. Sesiapa sahaja yang pernah saya tipu, akan saya bayar kembali empat kali ganda!"
9 Yesus berkata kepadanya, "Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu dan keluargamu, kerana kamu juga keturunan Abraham. 10 Mat 18.11Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat."