10 Orang Filistin itu menurut; mereka mengambil kedua-dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, lalu menambat kedua-dua ekor lembu itu pada pedati, sedangkan anak-anak lembu itu dikurung di dalam kandang. 11 Kemudian Tabut Perjanjian itu dinaikkan ke atas pedati, bersama dengan peti yang berisi tikus tiruan daripada emas dan bengkak-bengkak tiruan daripada emas itu. 12 Lembu-lembu itu berjalan menuju ke arah Bet-Semes; lembu-lembu itu menguak sambil berjalan terus, tanpa menyimpang ke kiri atau ke kanan dari jalan raya. Kelima-lima orang raja Filistin terus mengikuti lembu-lembu itu sampai ke sempadan kota Bet-Semes.
13 Pada masa itu penduduk Bet-Semes sedang menuai gandum di lembah. Apabila mereka nampak Tabut Perjanjian itu, alangkah sukacitanya mereka! 14 Pedati itu berhenti dekat sebuah batu besar di ladang Yosua, seorang penduduk Bet-Semes. Penduduk kota itu membelah-belah pedati kayu itu dan menyembelih dua ekor lembu itu, lalu mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.Korban untuk menyenangkan hati TUHAN; Harfiah: Korban bakar. Lihat Kamus.15 Kemudian orang Lewi menurunkan Tabut Perjanjian TUHAN dan peti yang berisi benda-benda emas itu. Mereka meletakkan semuanya di atas batu besar di situ. Selepas itu, penduduk Bet-Semes mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHANKorban untuk menyenangkan hati TUHAN; Harfiah: Korban bakar. Lihat Kamus. dan korban-korban lain kepada TUHAN.