Keagungan Tuhan dalam Sejarah
1 Marilah kita memuji orang termasyhur,
leluhur kita daripada generasi-generasi yang lampau.
2 Tuhan memberi mereka kehormatan besar
dan keagungan-Nya yang ada sejak awal zaman.
3 Di kalangan mereka ada yang menjadi raja
yang terkenal kerana keperkasaan mereka;
yang termasyhur sebagai penasihat bijaksana,
dan yang mengucapkan nubuat-nubuat.
4 Mereka membimbing bangsa dengan pertimbangan
dan mengerti apa yang harus diajarkan kepada rakyat
serta mengajar mereka dengan kata-kata bijaksana.
5 Mereka menggubah lagu-lagu merdu
dan menulis sajak-sajak.
6 Mereka kaya dan berkuasa
dan tinggal di rumah-Nya dengan tenteram.
7 Mereka semua orang yang dibanggakan
dan dihormati orang pada zaman mereka.
8 Beberapa orang antaranya meninggalkan nama baik,
dan masih terus dipuji orang.
9 Ada juga yang tidak diingat lagi,
tetapi lenyap seolah-olah tidak pernah hidup.
Mereka seolah-olah tidak pernah dilahirkan,
begitu juga keturunan mereka.
10 Tetapi berikut ini orang salih;
perbuatan baik mereka tidak akan dilupakan.
11 Semuanya tetap tinggal pada keturunan mereka
sebagai harta yang diwariskan mereka.
12 Keturunan mereka setia kepada perjanjian
kerana jasa nenek moyang mereka.
13 Keturunan mereka berlangsung selama-lamanya
dan kemasyhuran mereka tidak akan pudar.
14 Jenazah mereka dimakamkan dengan tenteram
dan nama baik mereka dikenang sepanjang zaman.
15 Kebijaksanaan mereka dikisahkan oleh bangsa-bangsa
dan mereka dipuji-puji oleh umat.
Henokh
16 Henokh menjadi teladan taubat bagi semua generasi. Dia menyenangkan hati Tuhan dan diangkat dari bumi ini. Kej 5.24;Ibr 11.5;Yud 14
Nuh
17 Nuh seorang yang jujur dan tidak bercela. Waktu terjadi bencana besar, dia memungkinkan kelangsungan umat manusia. Kerana dia, masih ada manusia di bumi ini sesudah air bah. 18 Tuhan membuat perjanjian abadi dengannya: Segala yang hidup tidak akan dimusnahkan lagi oleh banjir. Kej 6.9—9.17
Abraham
19 Abraham menjadi nenek moyang yang termasyhur kepada banyak bangsa. Namanya harum, tidak ada tandingnya. 20 Dia mentaati hukum Allah Yang Maha Tinggi, dan Tuhan membuat perjanjian dengan dia. Perjanjian itu ditandai pada tubuhnya. Ketika diuji, dia ternyata setia. 21 Maka Tuhan berjanji dengan sumpah kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi berkat bagi dunia. Jumlah mereka akan bertambah sehingga tidak dapat dihitung seperti debu di bumi dan bintang-bintang di langit. Tanah pusaka mereka akan terbentang dari laut ke laut, dari Sungai Efrat hingga ke hujung-hujung bumi. Kej 15.1-17,17.27,22.1-18
Ishak dan Yakub
22,23 Tuhan membaharui perjanjian dengan Ishak demi Abraham bapanya, kemudian dengan Yakub. Dia mengulangi janji-Nya bahawa keturunan Abraham akan menjadi berkat bagi seluruh umat manusia. Tuhan menegaskan kepada Yakub bahawa dia akan diberkati, lalu memberi kepadanya tanah pusaka yang akan menjadi miliknya. Tanah itu dibahagi-bahagikannya kepada kedua belas suku. Kej 17.19,26.3-5,27.28,28.14