Mordekhai Teringat Mimpinya
1 Lalu Mordekhai berkata, "Semua itu terjadi kerana Allah! 2 Saya masih ingat mimpi saya tentang kejadian-kejadian itu. Seluruh mimpi itu sudah menjadi kenyataan: 3 Mata air kecil yang menjadi sungai yang banyak airnya, dan fajar yang menjadi siang. Sungai itu ialah Permaisuri Ester yang diperisteri oleh raja dan dijadikan ratu. 4 Kedua-dua ekor naga itu melambangkan saya sendiri dan Haman. 5 Bangsa-bangsa itu adalah semua orang yang bersepakat untuk membinasakan bangsa Yahudi. 6 Bangsa saya Israel, yang berseru kepada Allah lalu diselamatkan. Tuhan telah menyelamatkan kita, umat-Nya, daripada segala malapetaka. Dia telah melakukan keajaiban-keajaiban besar yang belum pernah terjadi antara bangsa-bangsa lain. 7 Perkara itu terjadi kerana Allah memberikan nasib yang berbeza kepada bangsa Israel dan bangsa-bangsa lain. 8 Lalu datanglah hari dan saat nasib masing-masing harus diputuskan, iaitu saat Allah mengambil keputusan tentang bangsa-bangsa. 9 Maka Allah ingat akan umat pilihan-Nya dan mengambil keputusan yang menguntungkan mereka. 10 Oleh itu untuk selama-lamanya, umat Allah harus berkumpul di hadirat Allah pada tarikh empat belas dan lima belas bulan Adar untuk merayakan peristiwa itu dengan penuh sukacita."
Catatan Tentang Terjemahan Yunani
11 Dalam tahun keempat pemerintahan Ptolemeus dan Kleopatra, seorang bernama Dositeius, yang menurut keterangannya, ialah seorang imam daripada keturunan Lewi, bersama dengan anaknya yang bernama Ptolemeus, membawa surat tentang Perayaan Purim. Menurut keterangan mereka, surat itu asli dan diterjemahkan oleh Lisumakhus anak Ptolemeus, seorang penduduk Yerusalem.