Pular para o conteúdo
Publicidade

MAZMUR 59

Doa Minta Perlindungan

1 1 Sam 19.11 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia.

2 Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku;

lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!

3 Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu;

lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!

4 Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku;

orang kejam berkumpul mengadang aku.

Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,

5 bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN,

mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.

6 Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku;

lihatlah sendiri, ya Allah Israel!

Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa;

jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.

7 Pada waktu senja mereka pulang,

melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

8 Dengarlah hinaan dan ancaman mereka.

Kata-kata mereka tajam seperti pedang;

mereka menyangka tiada orang yang mendengar.

9 Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka;

Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.

10 Aku yakin akan kekuatan-Mu;

ya Allah, Engkaulah pernaunganku.

11 Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku;

Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.

12 Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa.

Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka,

ya Tuhan, pelindung kami.

13 Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka,

biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka.

Kerana mereka menyumpah dan berdusta,

14 binasakanlah mereka semasa Engkau murka;

binasakanlah mereka semuanya.

Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel,

dan Dia memerintah semua orang di dunia.

15 Pada waktu senja musuh-musuhku pulang,

melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

16 Mereka berkeliaran mencari makanan,

dan menggeram jika tidak kenyang.

17 Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu;

setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu.

Engkau telah menjadi pernaungan bagiku,

perlindungan pada masa kesusahanku.

18 Aku akan memuji Engkau, pembelaku;

Allah ialah pernaunganku,

Allah yang mengasihi aku.

Estes versículos te tocaram? Ore agora!

+581 estão orando agora.

Junte-se à corrente de oração.

Veja também